Tuesday 20 December 2011

Memaknai sebuah kehidupan


Basikal: memaknai sebuah kehidupan


‘Life is like riding a bicycle, to keep balance, you must keep moving’  -Albert Einstein

‘Eh, esok nak pergi main basikal, macam kena sahaja kata-kata hikmah ini’.

          Detik hatiku, tersenyum sendirian  saat membaca kata-kata yang tersemat kemas di meja belajar sahabatku. Dan ini bukanlah satu kebetulan. Mana ada kebetulan dalam hidup ini, melainkan semuanya takdir belaka. Ya, takdirNya menetapkan aku terbaca akan kata-kata itu tepat pada masanya yang aku sendiri  akan mengayuh basikal pada keesokkan harinya. Kata-kata yang terkesan di hati. Boleh jadi aku terbaca pada waktu lain, tetapi mungkin kesannya tidak sama. Mungkin baca, mungkin tidak, mungkin pandang sebelah mata sahaja.

           Teringat akan peringatan dari seorang sahabat, alquran juga seperti itu, ayat demi ayat kalau tidak terkesan di hati, maknanya kita masih tidak meletakkan diri pada ayat tersebut. Kalau ayat memanggil ‘wahai orang-orang beriman…’, kita menyahut atau tidak? Kalau ayat tengah berbicara tentang kiamat, maka di manakah kita saat itu? Dan apabila ayat mengetengahkan soal akhlak, maka sudah terbina rapikah akhlak itu dalam diri?  Semuanya akan terkesan apabila sesuatu itu ada terkaitnya dengan kita , sama seperti basikal seperti yang aku sebut di awal tadi. Asal ada sahaja yang berkaitan basikal, pasti hati melonjak. Lagaknya aku ini seperti budak kecil pula.

          Keesokkan harinya, aku bangkit dengan perasaan yang lain dari kebiasaaan hari,  kebiasaan hari yang mana awal pagi lagi fikiran sudah tertumpu pada buku dan agenda seharian yang sungguh rutin iaitu pergi dan pulang dari kuliah. Namun pagi itu, terasa penuh semangat, segar dan  terasa diri bernafas semula setelah lama tenggelam dek buku. Itulah realiti kehidupan sebagai kehidupan seorang pelajar, apatah lagi di bidang perubatan. Setiap hari aku cuba untuk mencari sesuatu kelainan supaya lari dari rutin dan kali ini aku akan berbasikal di kota yang padat, Kaherah. Pastinya perasaannya tidak sama apabila berbasikal dengan tenang dipersisiran pantai yang mengasikkan dan ditemani deruan ombak. Maka aku tersenyum sendirian membayangkan berduyun-duyun basikal bakal membanjiri kota  dan menambahkan lagi kesesakan yang sememangnya itulah sifat kota ini. 

          Pagi itu, pagi yang dingin sekali, apatah lagi saat ini musim sejuk. Awal pagi lagi sudah kelihatan mereka yang berpakaian sukan berkumpul dihadapan café, bertentangan dengan bangunan anatomy. Agak jarang aku menyaksikan  keadaan yang sedemikian rupa, mungkin kehidupan orang Mesir yang kurang beriadah tidak seperti di negara kita. Maka pagi itu , siapa-siapa yang berpakaian sukan, sangkaanku pasti mereka adalah peserta aktiviti berbasikal juga, seperti aku. Aktiviti berbasikal pada hari itu merupakan kali ke empat dianjurkan oleh Kaybe, sebuah persatuan di universiti kami.  Apabila ditanya kepada penganjur kenapa mesti berbasikal. Jawapannya mudah, ‘kita mencari persamaan di kalangan kebanyakan pelajar iaitu berbasikal’. Betul juga. Kalau aktiviti lain yang diadakan, sudah tentu memerlukan kemahiran mahupun peralatan tambahan dan itu mungkin kekurangan untuk aku. 

          Semua siap sedia dengan basikal masing-masing, sedia mengayuh ribuan pusingan roda. Arahan disampaikan dalam bahasa arab, agak terkulat-kulat aku mencari kata kunci dari apa yang dikatakan panganjur, betapa penguasaan bahasa arab masih ditahap yang belum memuaskan. Namun secara keseluruhannya penganjur mengingatkan peserta akan keselamatan. Selesai sahaja arahan disampaikan, bermulalah acara berbasikal di awal pagi bersama kesibukan orang awam yang rata-rata saat itu mahu ke pejabat mahupun sekolah. 

         Permulaan yang membuatkan aku berfikir sejenak, sambil kaki ligat terus mengayuh sambil mengimbangkan basikal. Berfikir kerana apa sebenarnya aku berbasikal tika itu? Jika difikirkan logik, hanya dapat penat. Bahkan sakit otot, terkejut mungkin setelah lama tidak aktif bersukan. Kalau hanya kerana seronok-seronok tanpa niat yang jelas, rugilah. Sedangkan niat boleh dipelbagaikan, lalu Dia menghitung setiap satunya. Subhanallah dan Dia Yang Maha Pemurah, tidak rugi sedikit pun walau kita menyatakan deretan niat. Tinggal nak buat sahaja.

        Kayuh. Kayuh. Kayuhan demi kayuhan dihayati. ‘Kehidupan itu seperti menaiki basikal, untuk mengimbanginya, perlu terus mengayuh’. Terngiang-ngiang pula kata-kata Albert Einstein dalam fikiranku.  Maka aku terus mengayuh. Kehidupan sememangnya punya atas dan bawah, punya tawa dan tangisan, punya suka dan duka. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Susah payah tetap diharungi. Kadang-kala terasa penat dengan kehidupan, letih menggapai impian, lelah menghadapi cabaran, namun itulah dunia. Mahu tidak mahu , harus diteruskan ,sesusah mana, sepayah mana sekalipun.  Dunia yang sememangnya tempat berpenat-penat kerana syurgalah tempat berehat yang abadi. Dan syurgalah tempat bertemu denganNya. Maka motivasi apa lagi yang kita mahukan? Tidak aku nyatakan tentang lawan kepada syurga, iaitu neraka kerana aku yakin semua dari kita memohon dihindarkan darinya. Maka ayuh beramal dengan amalan ahli syurga!

        Menyusuri tepian Nil, menuju Maadi. Itulah perjalanan berbasikal kami yang memakan hampir 4jam pergi dan balik. Ada tempat tujuan, maka perjalanan mudah. Tidak terpinga-pinga, tidak tertanya-tanya. Seperti itu jua Dia menetapkan tujuan kehidupan kita sebagai ‘abid dan khalifah di dunia ini, supaya hambaNya tidak terpinga-pinga ‘eh , kenapa aku dekat dunia??’. 

        Aku teringat, pada mulanya penganjur mengingatkan untuk bergerak secara pasangan, namun keadaan lalu lintas di mesir seperti yang sedia maklum ‘zahmah’nya  tidak mengizinkan. Lalu aku bertemankan Nil yang mengalir sudah sekian lamanya. Langit dan awan juga tidak meninggalkan aku sendirian. Terasa sudah lama tidak memerhatikan langit. Langit yang tidak punya cela, sedikit pun tidak. Sekalipun jutaan kali menatapnya.

‘Wahai langit, sudah lama rupanya aku tidak menatap kamu, menatap dengan mata hati.
Jika dicari-cari celanya, pasti tidak akan bertemu walaupun berkali-kali mencuba.
Bahkan yang aku temui adalah keindahan demi keindahan, wahai langit.
Maka apatah lagi Dia yang menciptakanmu wahai langit,
sudah tentu Dia yang  terindah, Yang Maha Sempurna, subhanallah, subhanallah..’

“..Dan Dia yang Maha Perkasa, Maha Pengampun.
 Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis.
 Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pengasih.
Maka lihatlah sekali lagi,adakah kamu melihat sesuatu yang cacat?”
 (surah al-mulk:2-3)

Jalan rata, mahupun berlopak, naik turun bukit, liku-liku perjalanan aku lalui, dan mereka juga demikian. Seronok memang seronok, tetapi penat pun ya juga. Sebuah  pengalaman yang menarik dan mungkin ini adalah antara kenangan baik yang berbekas di hati, kalau pun tidak untuk orang lain, cukuplah untuk aku. Kadang kala definisi kehidupan kita sangat terikat dengan peredaran sekeliling. Mengalir bersama dengan peredaran dunia. Orang ini buat benda ini , kita pun ikut buat sama tetapi tidak tahu kenapa. Analoginya mudah; Abu makan banyak , lalu Ali pun ikut sama makan banyak tetapi Ali tidak tahu kenapa dia makan banyak, sedangkan si Abu makan banyak kerana BMInya diparas kurang  18.0. Ali tidak memaknai apa yang dia buat, sekadar ikut-ikut sahaja. Sama juga dalam apa jua situasi kita dalam seharian. Tidur kita, bangun kita, pelajaran kita, sekalipun bermain basikal,  untuk apa semua itu kalau sekadar ikut rutin sahaja tanpa memaknainya. Alhamdulillah, terima kasih basikal, kau telah buat aku berfikir untuk memaknai setiap apa yang aku buat, walaupun seremeh-remeh perkara yang mungkin kecil di mata aku, namun disisiNya mudah-mudahan Dia menerima amalan aku dan kita semua.



 Disediakan oleh: Farah Ain binti Nordin





1 comments:

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Ya Allah... Jika tiba saat nya tiba engkau memanggil n panggil lah kami dengan cara khusnul khatimah Dan sempatkanlah kami mengucapkan kalimat Laailaahaillallah... ameen.........

Ya Allah....bukalah bagiku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu syurga Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang......Ameen Ya Rabbal Al Ameen...

Ya Allah Janganlah Engkau tinggalkan bagi kami dosa melainkan Engkau ampunkan dan tiada dukacita melainkan Engkau lepaskan dan tiada hutang melainkan Engkau jelaskan dan tiada sebarang hajat samada untuk dunia dan akhirat melainkan Engkau tunaikan Ya Arhammarrahimin... Ameen


p/s: Mabrouk alaiki, farah.. Mg sama2 terus memaknakan setiap detik hidup kita . Allahu musta3an.

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More