Friday 27 April 2012

Lemah Bahasa Arab, Penyakit Kronik?


Lemah Bahasa Arab; Penyakit Kronik ?
Oleh : Amirul Zuhri bin Zulkipli






              Situasi di klinik pesakit luar Otorinolaringologi, Sekolah Perubatan Kasr El-Ainy, Universiti Kaherah.Para pelajar mula mengambil tempat duduk masing-masing. Kedengaran bunyi tapak kaki seorang pensyarah lelaki dalam lingkungan umur 50-an datang bersama pembantunya ke bilik mengajar. 


Doctor: Salam alaik and good morning

Students: Waalaikumsalam doctors

Doctor: Okey, while we are waiting for your colleagues to come, I want you to take the history our patients here. You just take the personal history, the patient's main complaint and then, I'll ask you to present it to all of us. Just simple as that. Can you do it?

Students: Erk ???

Pernah berlaku sebegini di kelas  anda ? 

Pernah tertanya kenapa perkara ini berlaku ?

Ruang meneruskan pembelajaran di tahun empat dalam bidang perubatan perlu disyukuri. Namun, kita perlu menerima beberapa perubahan pada sesi pengajian baru seiring dengan perubahan daripada sesi pra-klinikal kepada tahun klinikal. Antara perubahan tersebut adalah pembelajaran mengikut pusingan subjek, peperiksaan pertengahan  tahun diganti dengan peperiksaan akhir pusingan, ada sesi klinikal khas bersama pesakit dan lain-lain lagi.


Fokus: Lemah bahasa arab, penyakit kronik ?

Dalam banyak-banyak perubahan yang dirasai apabila meniti perjalanan sebagai pelajar tahun empat ini adalah kita diberi kelonggaran dan kebenaran untuk berinteraksi besama pesakit sewaktu sesi pembelajaran.  Apakah sudut pandang kita dalam perkara situasi seperti ini ? Positif atau negatif ? Peluang atau masalah ? Hanya kita yang memiliki jawapannya.

Pesakit yang dibawa masuk ke kelas adalah berbangsa arab Mesir yang kebanyakkan mereka tidak memiliki kemahiran bahasa ketiga iaitu bahasa Inggeris yang baik. Maka menjadi peranan kita sebagai pelajar yang memiliki kemahiran asas bahasa arab dan telah menetap di bumi anbiya' ini hampir tiga ke empat tahun untuk berkomunikasi menggunakan bahasa arab Mesir dengan pesakit.

Sejauh mana kita memandang perkara ini sebagai satu peluang ? Malang sekali, majoriti daripada kita melihat perkara ini sebagai satu kekurangan dan kesukaran, lantas kita dengan sengaja mencari pelbagai sebab mahupun alasan dan mula meragam semata-mata mahu melepaskan diri daripada mendekati pesakit untuk sesi mengambil sejarah pesakit. Hanya kerana takut bertutur dalam bahasa arab !


Langkah awal: Ubah sisi dan cara pandang

Tidak perlu memandang jauh dan menyalahkan orang lain kerana sikap kita ini. Lihat invidividu yang paling dekat, diri sendiri. Sekali tidak memiliki niat dan azam untuk berubah, sampai bila pun kita gagal merubah.

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...."

(Surah ar-ra'd, ayat 11)

Kembali kepada persoalan asal. Soal dan muhasabah diri yang serba lemah ini. Sejauh mana aku memanfaatkan peluang berada di sini untuk mendapatkan khazanah berharga yang tidak boleh dijumpai di tanah air kita, antaranya bahasa mereka ? Perjalanan di sini sudah tidak panjang, segala ruang dan kesempatan harus direbut dengan baik.

Usaha mencari guru bahasa arab, menghadiri kelas tambahan bahasa arab, membaca bahan bacaan berbahasa arab, mendengar radio dan lagu nasyid berbahasa arab, pembelajaran melalui internet dan pelbagai cara lagi yang boleh disenaraikan. Namun, semuanya kembali kepada persoalan yang lebih utama, adakah kita memang berniat untuk mendapatkan khazanah bahasa arab di Mesir ini ?

Oleh itu, ayuh sama-sama belajar dan tingkatkan penguasaan kita dalam bahasa Al-Quran ini, insya-Allah.



Thursday 5 April 2012

Mahukah kamu?

Mahukah kamu memakan dagingku?
Oleh : Sharifah Norsyazwani Engku Taufik



“Aina! Aina! Aku ada berita hot ni. Kau nak dengar tak?” Nailah berlari ke bilik Aina sebaik sahaja membuka kasutnya. Aku yang ketika itu berada bersama Aina di dalam biliknya mengucapkan istighfar berulang kali. Hissh.. Budak ni.. Kasut entah ke mana, pintu rumah pun tidak ditutupnya. Nailah yang baru sahaja pulang dari City Stars itu kelihatan termengah-mengah.

“Berita hot apa pula kali ni, Nailah?” aku bertanya.

“Eh, kau pun ada kat sini ke Atiyah? Hehe. Kau tak payah tahu la. Kau kan budak baik, aku tahu, kau mana nak dengar gossip-gossip hangat ni.”

“Macam mana kau tahu aku tak suka dengar semua tu?” aku membalas.

“Aku tahu la. Aina, kenapa kau diam je ni? Kau nak tahu tak?”

Aina mendengus. “Alaaa.. Nailah, aku nak study ni. Kau pergi cerita kat orang lain la. Aku tahu tu, kalau bukan kau ternampak sesuatu, mesti kau terserempak dengan seseorang, kan?”

“Eh, pandailah kau ni, Aina. Yup, aku terserempak dengan seseorang. Kau nak tahu tak siapa?” Nailah cuba memancing minat kami.

“Malas la aku nak ambil tahu hal orang lain. Kau pun, tak payah la jaga tepi kain orang sangat.” Aina kembali menyambung pembacaannya yang terhenti sebentar tadi.

“Ni yang aku malas nak bercerita dengan korang ni. Kau nak ambil tahu ke taknak ambil tahu ke, aku tak kisah. Aku nak cerita jugak dan korang kena dengar.” Aina hanya mampu menggelengkan kepala, kelihatannya seperti sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi.

“Tadi kan, aku ternampak Syafiqah, housemate Atiyah. Tapi, bukan dia sorang je tau. Aku nampak dia dengan seorang lelaki. Bukan main mesra lagi. Ahli beit kau Atiyah, semuanya nampak baik-baik, tapi hampeh. ” Nailah mula membuka hikayat.

Ahh. Aku tahu siapa lelaki itu. Nailah ni, bukannya mahu diperiksa terlebih dahulu apa yang dilihatnya itu. Suka menuduh tanpa usul periksa.

“Lelaki tu tinggi, putih dan memakai cermin mata, kan?” aku mencelah.

“Eh, mana kau tahu ni, Atiyah?” Nailah bertanya.

Aku tersenyum. “Nailah, menyebarkan cerita yang tak betul pasal seseorang a.k.a mengumpat, samalah seperti memfitnah. Kau dah siasat ke siapa lelaki tu?”

“Belum. Tapi, buat apa nak siasat-siasat. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Aku tahu la.”
Nailah membidas kata-kataku.

“Astaghfirullah. Nailah, kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Lelaki yang kau nampak bersama-sama Syafiqah tu, abang dia la. Dia baru sampai kat Mesir ni semalam. Hari ni, Syafiqah keluar bawa dia jalan-jalan.”

Nailah terdiam.

“Kau ni kan, suka sebarkan cerita yang tak betul tanpa usul periksa, macam mami jarum dah aku tengok kau ni.” Aina menyindir.

“Aina, apa pula kau pergi samakan aku dengan mami jarum. Pantang keturunan aku. Yelah, aku mengaku aku salah. Lepas ni aku tak buat lagi.”

***

Okay. Aku rasa cukup setakat itu. Kalian sudah pasti tahu apa yang aku mahu sampaikan kali ini, kan? Ya, tepat sekali. Mengumpat.

Sedarkah Nailah apa yang diumpatkannya itu tidak termasuk dalam kategori umpatan yang dibolehkan?
Imam Nawawi telah menetapkan hanya terdapat beberapa keadaan di mana mengumpat adalah diharuskan. Antaranya, ketika dizalimi, ketika meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran, ketika meminta fatwa, untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya dan kesesatan yang berlaku di sekeliling mereka, sebagai umpatan ke atas mereka yang menzahirkan maksiat, dan sebagai pengenalan (sifat) kepada diri seseorang ketika diperlukan.
Aku yakin, kalian semua tahu mengumpat itu salah. Tapi, kenapa hanya segelintir berusaha untuk menahan diri mereka daripada mengumpat sedangkan yang lain seolah tidak peduli? Kerana mengumpat itu ‘seronok’, bukan? Tapi, apa gunanya ‘seronok’ kalau dosa yang kita dapat? Apa gunanya ‘seronok’ kalau hanya fitnah yang tersebar? Apa gunanya ‘seronok’ kalau orang yang diumpat itu merasa ‘sakit’?
Allah ada berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 12:







Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.

     Ya! Allah telah mengumpamakan mengumpat itu seperti memakan daging saudaramu sendiri yang sudah mati. Dalam fikiran kalian, enakkah daging tersebut? Pastinya kalian merasa jijik. Tetapi, benarlah firman Allah, hanya sedikit yang mengambil pengajaran.

     Saat ini, aku lihat semua orang seperti sudah hilang pertimbangan. Semuanya sangat ‘seronok’ membicarakan sesuatu yang tidak pasti. Kalian semua bagaikan terlupa. Terlupa bahawa kita semua bersaudara. Terlupa bahawa setiap orang punyai kelemahan. Terlupa bahawa setiap gerak-geri kita, baik buruk yang kita lakukan, ada yang melihat dan ada yang mencatat.

     Kita semua mahukan syurga, bukan? Tapi, layakkah kita untuk syurga Allah yang indah itu jika perkara yang kecil seperti mengumpat ini pun tidak mampu kita tinggalkan?

     Sekarang ini, pasti kaum Adam sedang menunding jari ke arah kaum Hawa. Ya, aku sebagai kaum Hawa mengaku, ada yang berkata perempuan dan mengumpat seperti isi dengan kuku, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Justeru, sekarang aku mahu mengajak sahabatku sekalian untuk menafikan penyataan tersebut. Ayuhlah kita mujahadah. Tinggalkan tabiat buruk ini. Bukankah mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah?








Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More