Wednesday 28 December 2011

Gelombang pilihan raya Perubatan- Malaysia- Mesir


Politik: Gelombang pilihan raya Perubatan- Malaysia- Mesir

Disediakan oleh: Mohd Nazrin bin Marzuki

          “Kebaikan yang tidak bersistem akan dikalahkan kebatilan yang bersistem”-Saidina Ali bin Abi Talib
Nidzom (sistem) menjadi salah satu entiti penting dalam pembinaan ketamadunan manusia dan kemajuan negara. Sesetengah pihak mungkin mengatakan skop kenegaraan terlalu besar untuk disentuh. Namun, sedarkah anda, pembinaan individu yang mapan juga berkehendak kepada sistem yang tersusun? Dalam kehidupan bermasyarakat,  sistem yang efisyen dan efektif amat diperlukan demi pembentukan masyarakat  yang  berkualiti.

           Persoalannya, adakah sistem itu bergerak dengan sendirinya? TIDAK. Perlu ada penggerak yang faham, sedia dan ikhlas dalam menggerakkan sesebuah sistem. Di situ letaknya kepentingan organisasi atau barisan kepimpinan untuk menjadi nadi penggerak utama dalam merancang dan melaksanakan intipati sistem agar mencapai matlamat yang dituju.
‘’!!!الشعب يريد إسقاط النظام’’
Mesir

          25 Januari 2011. Tarikh yang tidak asing lagi bagi penuntut ilmu di ardhul kinanah ini. Mesir dilanda tsunami kebangkitan rakyat menjatuhkan barisan kepimpinan yang korup dan merosakkan sistem. Fenomena ini terus merebak ke seluruh tanah arab. Libya, Syria, Jordan, Yaman, Bahrain. Semua berhajat kepada satu tujuan. Rakyat mahukan pengislahan sistem dilakukan kerana mereka melihat pemimpin mereka terlalu jauh menyimpang dari matlamat asal.
Penyakit wahan meresap ke dalam sanubari pemimpin ibarat barah malignan tahap ke-4. Mereka seolah-olah  bekerja untuk duit poket sendiri sehingga hak rakyat ditindas. Tiada rawatan melainkan ‘membuang’ barah tersebut dari terus menjadi pemerintah berkuku besi.  Itulah yang terjadi apabila pemimpin melupakan matlamat asal mereka seperti firman Allah SWT dalam kitabNya:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّه
]آل عمران:[110
          Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)  [Ali – Imran:110]
Bukan sahaja matlamat seorang pemimpin, malah seluruh umat Muhammad diseru untuk mengajak sekalian manusia menyembah Allah S.W.T. Itulah matlamat asal. Apabila dunia menjadi kiblat, maka rosaklah segalanya.

          Pemutihan sistem dilakukan dengan pelbagai cara. Pertumpahan darah, seperti yang berlaku di Libya. Di Mesir, rapat umum di medan Tahrir menjadi saksi penolakan rejim Husni Mubarak. Kepimpinan yang korup sudah dijatuhkan, kini tiba fatrah untuk melantik barisan kepimpinan baru untuk memerintah.



          Demokrasi merupakan satu sistem pemerintahan yang memberikan hak kepada rakyat untuk memilih wakil mereka untuk menyuarakan suara mereka di peringkat nasional. Pilihan raya telus dan adil menjadi teras utama untuk pemilihan kepimpinan. Mesir mencatat sejarah baru pada 28 November 2011 yang lepas apabila kali pertama rakyatnya turun mengundi beramai-ramai setelah kejatuhan rejim Mubarak.

Malaysia

          Bahang pilihan raya juga mula dirasai di tanah air, Malaysia. Ura-ura mengatakan pilihan raya bakal berlangsung pada Mac 2012 tahun hadapan. Segalanya hanya menantikan pengumuman dari Dato’ Seri Najib Abd Razak. Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ini menyaksikan warna warni dalam sejarah politiknya tersendiri. Rakyatnya  berkuasa menentukan corak dan aliran pemerintahan berdasarkan keputusan pilihan raya yang berlangsung lima tahun sekali atau apabila kerajaan memerintah mengumumkan pembubaran parlimen. Rakyat yang bijak akan memilih pemimpin yang paling layak untuk memacu negara ke arah kemajuan dari segenap aspek; ekonomi, pendidikan, sosial, rohani dan sebagainya. Bukan duniawi semata.

Sudahkah anda mendaftar sebagai pemilih?

Pilihanraya Jawatankuasa PERUBATAN 2012/2013

          Mahasiswa jurusan sains perubatan di Mesir juga tidak terlepas dari amanah ini. Pada 29 Disember 2011 nanti, seluruh warga PERUBATAN Mesir akan berbondong-bondong turun untuk membuang undi memilih pimpinan yang paling layak untuk menerajui dan meneruskan kesinambungan PERUBATAN yang bakal mencecah 10 tahun usianya pada tahun hadapan. PERUBATAN bukan lagi bayi yang baru lahir. 10 tahun menjadi saksi PERUBATAN menjadi tunjang kesatuan mahasiswa sains perubatan di Mesir ini. PERUBATAN  terus  menjadi  wadah  menyalurkan kebajikan kepada ahlinya.

          Amat malang seandainya ahlinya masih belum sedar kepentingan menjadi tulang belakang mondokong PERUBATAN, menjadi barisan hadapan memimpin PERUBATAN. Bertambah malang andai ada ahlinya, menolak amanah untuk mengundi dan memilih insan yang akan menerajui PERUBATAN.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu : apabila berkata ia berdusta, apabila berjanji ia mengingkari dan bila diberi amanah ia khianati.” (HR.Bukhari dan Muslim)

          Islam memacu setiap gerak geri umatnya. Hatta dalam pemilihan pemimpin, ciri-ciri pemimpin, cara mentadbir sesebuah negara juga sudah dipahat lengkap di dalam Al-Quran dan juga As-Sunnah. Terserah kepada kita, untuk beramal ataupun tidak. Yang pasti, percaturan Allah adalah yang terbaik buat makhluk yang diciptakanNya.



Marilah tunaikan amanah. Marilah mengundi. Pamerkan sokongan anda, maknakan keberadaan anda.

Gen08  warga prihatin dan amanah!

2 comments:

tarikh mengundi saloh..30 disember bukan 29 disember

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More