Nexus 08 Coming Soon

Beware and prepare, your old friend going to meet you anytime from now. Hati-hati dan bersedia. Kawan lama kamu akan jumpa kamu bila-bila masa dari sekarang

Nexus Gen 08

Holding hands toward one destination

Tazkirah

Ayuh, bersama-sama kita melaksanakan amar makruf nahi munkar

PERUBATAN Sport Day

Together we'll glorify the moment

Friday, 27 April 2012

Lemah Bahasa Arab, Penyakit Kronik?


Lemah Bahasa Arab; Penyakit Kronik ?
Oleh : Amirul Zuhri bin Zulkipli






              Situasi di klinik pesakit luar Otorinolaringologi, Sekolah Perubatan Kasr El-Ainy, Universiti Kaherah.Para pelajar mula mengambil tempat duduk masing-masing. Kedengaran bunyi tapak kaki seorang pensyarah lelaki dalam lingkungan umur 50-an datang bersama pembantunya ke bilik mengajar. 


Doctor: Salam alaik and good morning

Students: Waalaikumsalam doctors

Doctor: Okey, while we are waiting for your colleagues to come, I want you to take the history our patients here. You just take the personal history, the patient's main complaint and then, I'll ask you to present it to all of us. Just simple as that. Can you do it?

Students: Erk ???

Pernah berlaku sebegini di kelas  anda ? 

Pernah tertanya kenapa perkara ini berlaku ?

Ruang meneruskan pembelajaran di tahun empat dalam bidang perubatan perlu disyukuri. Namun, kita perlu menerima beberapa perubahan pada sesi pengajian baru seiring dengan perubahan daripada sesi pra-klinikal kepada tahun klinikal. Antara perubahan tersebut adalah pembelajaran mengikut pusingan subjek, peperiksaan pertengahan  tahun diganti dengan peperiksaan akhir pusingan, ada sesi klinikal khas bersama pesakit dan lain-lain lagi.


Fokus: Lemah bahasa arab, penyakit kronik ?

Dalam banyak-banyak perubahan yang dirasai apabila meniti perjalanan sebagai pelajar tahun empat ini adalah kita diberi kelonggaran dan kebenaran untuk berinteraksi besama pesakit sewaktu sesi pembelajaran.  Apakah sudut pandang kita dalam perkara situasi seperti ini ? Positif atau negatif ? Peluang atau masalah ? Hanya kita yang memiliki jawapannya.

Pesakit yang dibawa masuk ke kelas adalah berbangsa arab Mesir yang kebanyakkan mereka tidak memiliki kemahiran bahasa ketiga iaitu bahasa Inggeris yang baik. Maka menjadi peranan kita sebagai pelajar yang memiliki kemahiran asas bahasa arab dan telah menetap di bumi anbiya' ini hampir tiga ke empat tahun untuk berkomunikasi menggunakan bahasa arab Mesir dengan pesakit.

Sejauh mana kita memandang perkara ini sebagai satu peluang ? Malang sekali, majoriti daripada kita melihat perkara ini sebagai satu kekurangan dan kesukaran, lantas kita dengan sengaja mencari pelbagai sebab mahupun alasan dan mula meragam semata-mata mahu melepaskan diri daripada mendekati pesakit untuk sesi mengambil sejarah pesakit. Hanya kerana takut bertutur dalam bahasa arab !


Langkah awal: Ubah sisi dan cara pandang

Tidak perlu memandang jauh dan menyalahkan orang lain kerana sikap kita ini. Lihat invidividu yang paling dekat, diri sendiri. Sekali tidak memiliki niat dan azam untuk berubah, sampai bila pun kita gagal merubah.

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...."

(Surah ar-ra'd, ayat 11)

Kembali kepada persoalan asal. Soal dan muhasabah diri yang serba lemah ini. Sejauh mana aku memanfaatkan peluang berada di sini untuk mendapatkan khazanah berharga yang tidak boleh dijumpai di tanah air kita, antaranya bahasa mereka ? Perjalanan di sini sudah tidak panjang, segala ruang dan kesempatan harus direbut dengan baik.

Usaha mencari guru bahasa arab, menghadiri kelas tambahan bahasa arab, membaca bahan bacaan berbahasa arab, mendengar radio dan lagu nasyid berbahasa arab, pembelajaran melalui internet dan pelbagai cara lagi yang boleh disenaraikan. Namun, semuanya kembali kepada persoalan yang lebih utama, adakah kita memang berniat untuk mendapatkan khazanah bahasa arab di Mesir ini ?

Oleh itu, ayuh sama-sama belajar dan tingkatkan penguasaan kita dalam bahasa Al-Quran ini, insya-Allah.



Thursday, 5 April 2012

Mahukah kamu?

Mahukah kamu memakan dagingku?
Oleh : Sharifah Norsyazwani Engku Taufik



“Aina! Aina! Aku ada berita hot ni. Kau nak dengar tak?” Nailah berlari ke bilik Aina sebaik sahaja membuka kasutnya. Aku yang ketika itu berada bersama Aina di dalam biliknya mengucapkan istighfar berulang kali. Hissh.. Budak ni.. Kasut entah ke mana, pintu rumah pun tidak ditutupnya. Nailah yang baru sahaja pulang dari City Stars itu kelihatan termengah-mengah.

“Berita hot apa pula kali ni, Nailah?” aku bertanya.

“Eh, kau pun ada kat sini ke Atiyah? Hehe. Kau tak payah tahu la. Kau kan budak baik, aku tahu, kau mana nak dengar gossip-gossip hangat ni.”

“Macam mana kau tahu aku tak suka dengar semua tu?” aku membalas.

“Aku tahu la. Aina, kenapa kau diam je ni? Kau nak tahu tak?”

Aina mendengus. “Alaaa.. Nailah, aku nak study ni. Kau pergi cerita kat orang lain la. Aku tahu tu, kalau bukan kau ternampak sesuatu, mesti kau terserempak dengan seseorang, kan?”

“Eh, pandailah kau ni, Aina. Yup, aku terserempak dengan seseorang. Kau nak tahu tak siapa?” Nailah cuba memancing minat kami.

“Malas la aku nak ambil tahu hal orang lain. Kau pun, tak payah la jaga tepi kain orang sangat.” Aina kembali menyambung pembacaannya yang terhenti sebentar tadi.

“Ni yang aku malas nak bercerita dengan korang ni. Kau nak ambil tahu ke taknak ambil tahu ke, aku tak kisah. Aku nak cerita jugak dan korang kena dengar.” Aina hanya mampu menggelengkan kepala, kelihatannya seperti sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi.

“Tadi kan, aku ternampak Syafiqah, housemate Atiyah. Tapi, bukan dia sorang je tau. Aku nampak dia dengan seorang lelaki. Bukan main mesra lagi. Ahli beit kau Atiyah, semuanya nampak baik-baik, tapi hampeh. ” Nailah mula membuka hikayat.

Ahh. Aku tahu siapa lelaki itu. Nailah ni, bukannya mahu diperiksa terlebih dahulu apa yang dilihatnya itu. Suka menuduh tanpa usul periksa.

“Lelaki tu tinggi, putih dan memakai cermin mata, kan?” aku mencelah.

“Eh, mana kau tahu ni, Atiyah?” Nailah bertanya.

Aku tersenyum. “Nailah, menyebarkan cerita yang tak betul pasal seseorang a.k.a mengumpat, samalah seperti memfitnah. Kau dah siasat ke siapa lelaki tu?”

“Belum. Tapi, buat apa nak siasat-siasat. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Aku tahu la.”
Nailah membidas kata-kataku.

“Astaghfirullah. Nailah, kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Lelaki yang kau nampak bersama-sama Syafiqah tu, abang dia la. Dia baru sampai kat Mesir ni semalam. Hari ni, Syafiqah keluar bawa dia jalan-jalan.”

Nailah terdiam.

“Kau ni kan, suka sebarkan cerita yang tak betul tanpa usul periksa, macam mami jarum dah aku tengok kau ni.” Aina menyindir.

“Aina, apa pula kau pergi samakan aku dengan mami jarum. Pantang keturunan aku. Yelah, aku mengaku aku salah. Lepas ni aku tak buat lagi.”

***

Okay. Aku rasa cukup setakat itu. Kalian sudah pasti tahu apa yang aku mahu sampaikan kali ini, kan? Ya, tepat sekali. Mengumpat.

Sedarkah Nailah apa yang diumpatkannya itu tidak termasuk dalam kategori umpatan yang dibolehkan?
Imam Nawawi telah menetapkan hanya terdapat beberapa keadaan di mana mengumpat adalah diharuskan. Antaranya, ketika dizalimi, ketika meminta pertolongan untuk mencegah kemungkaran, ketika meminta fatwa, untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya dan kesesatan yang berlaku di sekeliling mereka, sebagai umpatan ke atas mereka yang menzahirkan maksiat, dan sebagai pengenalan (sifat) kepada diri seseorang ketika diperlukan.
Aku yakin, kalian semua tahu mengumpat itu salah. Tapi, kenapa hanya segelintir berusaha untuk menahan diri mereka daripada mengumpat sedangkan yang lain seolah tidak peduli? Kerana mengumpat itu ‘seronok’, bukan? Tapi, apa gunanya ‘seronok’ kalau dosa yang kita dapat? Apa gunanya ‘seronok’ kalau hanya fitnah yang tersebar? Apa gunanya ‘seronok’ kalau orang yang diumpat itu merasa ‘sakit’?
Allah ada berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 12:







Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.

     Ya! Allah telah mengumpamakan mengumpat itu seperti memakan daging saudaramu sendiri yang sudah mati. Dalam fikiran kalian, enakkah daging tersebut? Pastinya kalian merasa jijik. Tetapi, benarlah firman Allah, hanya sedikit yang mengambil pengajaran.

     Saat ini, aku lihat semua orang seperti sudah hilang pertimbangan. Semuanya sangat ‘seronok’ membicarakan sesuatu yang tidak pasti. Kalian semua bagaikan terlupa. Terlupa bahawa kita semua bersaudara. Terlupa bahawa setiap orang punyai kelemahan. Terlupa bahawa setiap gerak-geri kita, baik buruk yang kita lakukan, ada yang melihat dan ada yang mencatat.

     Kita semua mahukan syurga, bukan? Tapi, layakkah kita untuk syurga Allah yang indah itu jika perkara yang kecil seperti mengumpat ini pun tidak mampu kita tinggalkan?

     Sekarang ini, pasti kaum Adam sedang menunding jari ke arah kaum Hawa. Ya, aku sebagai kaum Hawa mengaku, ada yang berkata perempuan dan mengumpat seperti isi dengan kuku, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Justeru, sekarang aku mahu mengajak sahabatku sekalian untuk menafikan penyataan tersebut. Ayuhlah kita mujahadah. Tinggalkan tabiat buruk ini. Bukankah mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah?








Wednesday, 28 December 2011

Gelombang pilihan raya Perubatan- Malaysia- Mesir


Politik: Gelombang pilihan raya Perubatan- Malaysia- Mesir

Disediakan oleh: Mohd Nazrin bin Marzuki

          “Kebaikan yang tidak bersistem akan dikalahkan kebatilan yang bersistem”-Saidina Ali bin Abi Talib
Nidzom (sistem) menjadi salah satu entiti penting dalam pembinaan ketamadunan manusia dan kemajuan negara. Sesetengah pihak mungkin mengatakan skop kenegaraan terlalu besar untuk disentuh. Namun, sedarkah anda, pembinaan individu yang mapan juga berkehendak kepada sistem yang tersusun? Dalam kehidupan bermasyarakat,  sistem yang efisyen dan efektif amat diperlukan demi pembentukan masyarakat  yang  berkualiti.

           Persoalannya, adakah sistem itu bergerak dengan sendirinya? TIDAK. Perlu ada penggerak yang faham, sedia dan ikhlas dalam menggerakkan sesebuah sistem. Di situ letaknya kepentingan organisasi atau barisan kepimpinan untuk menjadi nadi penggerak utama dalam merancang dan melaksanakan intipati sistem agar mencapai matlamat yang dituju.
‘’!!!الشعب يريد إسقاط النظام’’
Mesir

          25 Januari 2011. Tarikh yang tidak asing lagi bagi penuntut ilmu di ardhul kinanah ini. Mesir dilanda tsunami kebangkitan rakyat menjatuhkan barisan kepimpinan yang korup dan merosakkan sistem. Fenomena ini terus merebak ke seluruh tanah arab. Libya, Syria, Jordan, Yaman, Bahrain. Semua berhajat kepada satu tujuan. Rakyat mahukan pengislahan sistem dilakukan kerana mereka melihat pemimpin mereka terlalu jauh menyimpang dari matlamat asal.
Penyakit wahan meresap ke dalam sanubari pemimpin ibarat barah malignan tahap ke-4. Mereka seolah-olah  bekerja untuk duit poket sendiri sehingga hak rakyat ditindas. Tiada rawatan melainkan ‘membuang’ barah tersebut dari terus menjadi pemerintah berkuku besi.  Itulah yang terjadi apabila pemimpin melupakan matlamat asal mereka seperti firman Allah SWT dalam kitabNya:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّه
]آل عمران:[110
          Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)  [Ali – Imran:110]
Bukan sahaja matlamat seorang pemimpin, malah seluruh umat Muhammad diseru untuk mengajak sekalian manusia menyembah Allah S.W.T. Itulah matlamat asal. Apabila dunia menjadi kiblat, maka rosaklah segalanya.

          Pemutihan sistem dilakukan dengan pelbagai cara. Pertumpahan darah, seperti yang berlaku di Libya. Di Mesir, rapat umum di medan Tahrir menjadi saksi penolakan rejim Husni Mubarak. Kepimpinan yang korup sudah dijatuhkan, kini tiba fatrah untuk melantik barisan kepimpinan baru untuk memerintah.



          Demokrasi merupakan satu sistem pemerintahan yang memberikan hak kepada rakyat untuk memilih wakil mereka untuk menyuarakan suara mereka di peringkat nasional. Pilihan raya telus dan adil menjadi teras utama untuk pemilihan kepimpinan. Mesir mencatat sejarah baru pada 28 November 2011 yang lepas apabila kali pertama rakyatnya turun mengundi beramai-ramai setelah kejatuhan rejim Mubarak.

Malaysia

          Bahang pilihan raya juga mula dirasai di tanah air, Malaysia. Ura-ura mengatakan pilihan raya bakal berlangsung pada Mac 2012 tahun hadapan. Segalanya hanya menantikan pengumuman dari Dato’ Seri Najib Abd Razak. Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ini menyaksikan warna warni dalam sejarah politiknya tersendiri. Rakyatnya  berkuasa menentukan corak dan aliran pemerintahan berdasarkan keputusan pilihan raya yang berlangsung lima tahun sekali atau apabila kerajaan memerintah mengumumkan pembubaran parlimen. Rakyat yang bijak akan memilih pemimpin yang paling layak untuk memacu negara ke arah kemajuan dari segenap aspek; ekonomi, pendidikan, sosial, rohani dan sebagainya. Bukan duniawi semata.

Sudahkah anda mendaftar sebagai pemilih?

Pilihanraya Jawatankuasa PERUBATAN 2012/2013

          Mahasiswa jurusan sains perubatan di Mesir juga tidak terlepas dari amanah ini. Pada 29 Disember 2011 nanti, seluruh warga PERUBATAN Mesir akan berbondong-bondong turun untuk membuang undi memilih pimpinan yang paling layak untuk menerajui dan meneruskan kesinambungan PERUBATAN yang bakal mencecah 10 tahun usianya pada tahun hadapan. PERUBATAN bukan lagi bayi yang baru lahir. 10 tahun menjadi saksi PERUBATAN menjadi tunjang kesatuan mahasiswa sains perubatan di Mesir ini. PERUBATAN  terus  menjadi  wadah  menyalurkan kebajikan kepada ahlinya.

          Amat malang seandainya ahlinya masih belum sedar kepentingan menjadi tulang belakang mondokong PERUBATAN, menjadi barisan hadapan memimpin PERUBATAN. Bertambah malang andai ada ahlinya, menolak amanah untuk mengundi dan memilih insan yang akan menerajui PERUBATAN.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu : apabila berkata ia berdusta, apabila berjanji ia mengingkari dan bila diberi amanah ia khianati.” (HR.Bukhari dan Muslim)

          Islam memacu setiap gerak geri umatnya. Hatta dalam pemilihan pemimpin, ciri-ciri pemimpin, cara mentadbir sesebuah negara juga sudah dipahat lengkap di dalam Al-Quran dan juga As-Sunnah. Terserah kepada kita, untuk beramal ataupun tidak. Yang pasti, percaturan Allah adalah yang terbaik buat makhluk yang diciptakanNya.



Marilah tunaikan amanah. Marilah mengundi. Pamerkan sokongan anda, maknakan keberadaan anda.

Gen08  warga prihatin dan amanah!

Sunday, 25 December 2011

Igauan ngeri?? :-/

‘PUBLIC HEALTH & COMMUNITY MEDICINE’: IGAUAN NGERI??
Disediakan oleh : Zuriati Afifah binti mohamad


 

Pelajar A : Arrgh..bosan lah belajar commed ni.
Pelajar B : Hurm, banyaknya nak kena baca..alamak, sempat ke nak ‘cover’ semua topik ni?
Pelajar C : Penatnya round kali ni, hampir setiap hari balik lewat dari kuliah.

Itulah sebahagian respon-respon yang diberikan apabila ditanyakan tentang subjek untuk ‘round’ kali ini.
Apa kata, kita tanyakan pendapat senior-senior tentang subjek commed. Mari ikuti temu ramah bersama Kak Izzah Mohd Nathir.

Q: Selalunya ada yang kata, commed ni boring, banyak la nak kena baca dan macam-macam lagi. Bagi akak pula macam mana? Apakah pandangan akak terhadap subjek ni?


> Bismillah.. erm, samalah macam korang. Kami dulu pun macam tu jugak, buku yang sangat psiko, tak faham apa yang nak diajar dalam commed ni sebab rasanya asyik belajar benda-benda skema je. Tapi, bila dah belajar banyak, baru macam boleh rasa sebenarnya yang kita belajar tentang commed ni bersifat ‘preventive’ bukan ‘curative’.

Q: Bagaimanakah cara belajar  subjek commed yang paling berkesan yang akak gunakan? Atau cadangan akak tentang cara belajar commed?


> Err, akak tak reti sangat nak cakap cara berkesan ke apa, sebab cara belajar masing-masing lain-lain. Cumanya, akak kongsilah lebih kurang macam muhasabah la. Sebab dah nak habis commed baru tercari-cari macam mana nak study benda yang banyak dan selalu tertukar-tukar. Kena pastikan bahawa korang tahu apa yang penting dalam commed.  Contoh, PHC and the gang tu extremely important sebab ia pekara teras dalam commed. Hafal definition, principles dan semua tu like your name..;p Tu pun soalan oral yang biasa ditanya juga.

> Epidemiology juga sangat penting. Tapi, kita ni belajar preventive medicine, so ada items seperti  mode of transmission dan vaccines yang sangat sangatlah penting. Batch kitorang dulu ada buat table comparison. Kalau nak guna yang tu, guna dari awal lagi.


Q: Boleh akak bagi panduan berkenaan ‘Oral exam’ untuk subjek ni? Soalan-soalan yang biasa ditanya dalam oral? Bagaimana exam ni akan dijalankan?


> Seingat akak, untuk end round exam, kena hantar buku practical yang kita tulis report tu, ada markah ya, dan untuk visit pun ada markah.  Kehadiran tu penting,ada markah juga. Selepas itu ada oral exam sikit (ringkas-ringkas je). Tapi, oral ni atas nasib la but mostly cover pasal isi kandungan visit; apa yang korang dapat dan tengok serta komen sikit-sikit.
> Berkenaan oral exam untuk final. Macam oral exam biasa. Rujuk medadteam collection oral Questions. Sangat membantu.

Q: Bagaimana cara yang akak gunakan untuk mengingat fakta-fakta yang sangat banyak dalam subjek commed?

 
> Kalau epidemiology, penggunaan table sangat membantu sebab sangat banyak vaksin dan pelbagai jenis MOT, kalau gunakan perbandingan, jelas sikit. Kalau untuk health care, cuba kaitkan pengalaman visit dengan fakta-fakta dalam buku tu. Insya-Allah, membantu juga. Pastu, akak ada juga rujuk mnemonic yang kawan-kawan arab buat. Selalulah buka medadteam.org tu. Banyak benda dalam tu yang memudahkan.

Q: Bagaimanakah akak menjadikan subjek commed ni sbg sesuatu yg seronok untuk dipelajari?

 
> Macam biasa, dah nak habis round baru rasa seronok juga commed ni sebenarnya..=)

Q: Adakah akak gunakan mana-mana nota untuk subjek ni? Bentuk nota yang bagaimanakah yang akak gunakan?


> Adalah satu nota yang akak buat untuk statistic and cohort serta case study kalau tak silap sebab ayat buku berbelit dan bersambung-sambung sampai banyak muka surat sangat.. Itu jelah. Yang lain takde. Tapi, bergantung kepada masing-masing. Kalau buat nota boleh cepat ingat, silakan. Ada kawan-kawan akak buat nota kecil, tulis fakta-fakta penting seperti element PHC, causes yang ringkas supaya selalu tengok dan mudah ingat. Commed ni kita baca memang faham, tapi, nak ingat susah.

Q: Apakah pengalaman menarik / keseronokan yang mungkin akak tak dapat lupakan sepanjang akak mengikuti kelas commed (mungkin drpd visit ke)?

 
> Haha. Maybe kelas kitorang selalu buat jamuan kat kelas dan menjadikan suasana seronok. Visitlah best!

Q: Mungkin akak nak bagi nasihat sikit untuk junior-junior seperti kami ni supaya jangan anggap subjek yang kita belajar ni (commed) sia-sia? Bagaimanakah akak mengaplikasikan apa yg akak belajar drp subjek ni dlm kehidupan seharian? Cth: drpd chapter,nutrion..

 
> Tiada benda atas dunia ni sia-sia. Sewaktu belajar commed ni kita jadi berfikir jauh sikit, tengok realiti masyarakat kita sebenarnya. Dari commed ni banyak perkara baru yang kita tahu seperti sistem kesihatan. Contoh; PHC tu seperti klinik desa di Malaysia. Benda yang kita belajar dalam commed ni memang rasa macam general knowledge, yelah, belajar pasal pollution, prevention of cancer la, benda common, tapi, banyak je perkara yang baru kita belajar daripada subjek commed yang kita belum tahu sebelum ni.

Q: Akhir sekali ,apakah harapan akak untuk kami? 

 
> Erm, mungkin bila dah mula belajar subjek ENT dan ophthal, korang rasa lebih kedoktoran di situ. Dah jumpa pesakit, dah kena ambil history and belajar present case, tengok benda yang baru. Nanti juga dah boleh masuk OT, tengok operation dan macam-macam lagi, lagi seronok! Dan korang akan rasa lebih bersyukur sebab Allah bagi kita banyak sangat nikmat terutamanya bab kesihatan.


> Betulkan niat belajar. Untuk apa kita belajar sebenarnya. Belajar sungguh-sungguh untuk setiap round, sebab bila dah habis belajar,contohnya untuk ENT dan opthal, takkan diulang lagi dah. Itulah yang akan digunakan sewaktu kerja nanti. Bila dapat peluang tu, gunakan sebaiknya sama ada dengan pesakit atau sebagainya.


> Ramai yang kata tahun 4 ni relax. Ya, mungkin relax sewaktu round ENT sebab kelas hanya 3 hari seminggu (tahun lepas). Tapi, berhati-hatilah dengan nikmat masa lapang. 


> Nanti dah masuk round ENT, masa banyak, jadi kalau boleh, cuba cover sikit subjek forensic dan commed. ( takut tak sempat nak baca sebelum final exam).
Allahua’lam.

Terima kasih atas perkongsian akak yang sangat membantu, insya-Allah. Semoga Allah sentiasa merahmati akak.


Apa kata senior-senior lain tentang commed??

[ Kena baca dan fahamkan betul-betul...tak perlu hafal betul-betul sama seperti yang ada dalam buku..tapip bagi ada idea..hafal keywords..insya-Allah korang boleh~ ]
-    Mujahidah

[ Jangan ponteng kelas! Attendance sangat penting. Kalau malas sangat nak pergi lecture, make sure pergi pre and post visit. Semua visit kena pergi tapi tak tahu la batch korang tahun ni macam mana. Kena skor betul-betul untuk end round exam. Sewaktu final exam, pastikan kita tahu apa yang penting dan selalu diberi penekanan oleh doctor. ]
-Hidayah

[It’s actually an easy subject. You have learnt almost all of the topics before. The only difference is in the presentation & organization of the topics. They organized it, from Public Health point of view, as if you are the health director of the district.
Just have a clear big picture or big skeleton of the subject, and you are done. The details are in your mind, from basic sciences, microbiology, and so forth. ]
-Ahmad Ibrahim Yahaya

[ Selalu pujuk diri minat dengan subjek ni..prepare hafal certain bab awal-awal before exam final sebab silibus terlalu banyak. ]
-*****

[ Subjek ni tidak dapat tidak, memang kena minat la. Tapi ada banyak topik dalam commed yang pernah dipelajari waktu third year dulu seperti yang dipelajari dalam subjek mikrob.
Untuk statistic, cuba untuk faham. Kalau susah, paksa diri juga. Insya-Allah boleh.]
-Fathiyyah

[ Fokus kepada past years Questions. =D ]
-Fantasia








Ijazah dalam bidang kesihatan awam


          Sekolah kesihatan awam menawarkan pelbagai darjah yang umumnya terbahagi kepada dua kategori: profesional atau akademik. Dua darjah profesional pascasiswazah yang utama ialah Sarjana Kesihatan Awam (MPH) atau Ijazah Sarjana Sains Kesihatan Awam (MSPH). Kajian Doktor Falsafah dalam bidang ini termasuk Doktor Kesihatan Awam (DrPH) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam subspeciality disiplin Kesihatan Awam yang lebih besar. DrPH dianggap sebagai ijazah kepimpinan profesional dan PhD adalah lebih ijazah akademik.

          Ijazah profesional berorientasikan ke arah amalan dalam tetapan kesihatan awam. Sarjana Kesihatan Awam, Doktor Kesihatan Awam, Doktor Sains Kesihatan (DHSc) dan Sarjana Pentadbiran Health Care adalah contoh yang menjurus ke arah orang-orang yang mahukan kerjaya sebagai pengamal kesihatan awam di jabatan-jabatan kesihatan,organisasi yang berasaskan masyarakat, hospital dan syarikat perunding. Ijazah Sarjana Kesihatan Awam secara umumnya terbahagi kepada dua kategori; kumpulan yang meletakkan penekanan yang lebih pada pemahaman epidemiologi dan statistik sebagai asas saintifik amalan kesihatan awam dan kumpulan yang memasukkan pelbagai metodologi yang lebih eklektik. Sarjana Sains Kesihatan Awam adalah sama seperti MPH tetapi dianggap ijazah akademik (bertentangan dengan ijazah profesional) dan memberi penekanan yang lebih kepada kaedah kuantitatif dan penyelidikan. Perbezaan yang sama boleh dibuat antara DrPH dan DHSc. DrPH dianggap sebagai ijazah profesional dan DHSc adalah ijazah akademik.

          Ijazah akademik adalah lebih tertumpu kepada mereka yang mempunyai kepentingan dalam dasar saintifik kesihatan awam dan perubatan pencegahan yang ingin meneruskan kerjaya dalam penyelidikan, universiti yang menawarkan program-program siswazah, analisis dasar dan pembangunan, serta lain-lain jawatan kesihatan awam peringkat tinggi. Contoh ijazah akademik ialah Sarjana Sains, Doktor Falsafah, Doktor Sains (SCD), dan Doktor Sains Kesihatan (DHSc). Program-program kedoktoran adalah berbeza dari MPH dan lain-lain program profesional dengan penambahan kursus lanjutan dan sifat dan skop projek penyelidikan.