Saturday 12 March 2011

"WACANA INTELEKTUAL"

Sepanjang tarikh 4 Mac sehingga 7 Mac 2011 baru-baru ini, pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menuntut di Mesir termasuklah majoriti warga Gen 08 telah diminta untuk menghadiri kursus anjuran JPA sempena keberadaan mereka di Malaysia bertempat di kem Bina Negara (KBN) seluruh negara. Kursus yang dikenali sebagai 'Wacana Intelektual' ini telah diadakan mengikut zon negeri masing-masing. Sebanyak enam kem BTN telah dipilih sebagai lokasi kursus iaitu:

- KBN Balik Pulau (4/3 - 5/3)
- KBN Tanjung Rhu (4/3 - 5/3)
- KBN Besut (4/3 - 5/3)
- KBN Alor Gajah (5/3 - 6/3)
- KBN Bukit Sagu (6/3 - 7/3)
- KBN KLIA (6/3 - 7/3)

Kursus ini dijalankan selama dua hari satu malam di setiap kem bina negara yang terpilih.

Pelbagai bentuk aktiviti dan program dilalui oleh para peserta sepanjang kursus tersebut. Pada hari pertama kursus, sebanyak tiga slot utama telah diadakan iaitu, 'Perkongsian Pengalaman', 'Ceramah Ancaman Keselamatan' dan 'Bicara Malam 1 Malaysia: Kontrak Sosial dan Perlembagaan'. Menerusi slot perkongsian pengalaman, peserta diminta untuk menceritakan detik-detik cemas ketika berada di Mesir selain mengutarakan pendapat berkenaan pro dan kontra revolusi Mesir ini. Ceramah ancaman keselamatan pula dikendalikan oleh pegawai daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dengan peranan mereka dalam menjaga keselamatan negara dan membendung ancaman pengganas. Para peserta terus diberikan input baru berkenaan undang-undang tertinggi negara Malaysia iaitu perlembagaan dan kontrak sosial dalam slot Bicara Malam 1 Malaysia.

Hari kedua pula diisi dengan dua slot utama iaitu 'Forum 1 Malaysia' dan slot bersama JPA. Para peserta didedahkan dengan penjang lebar berkenaan agenda transformasi 1 Malaysia yang dicanangkan oleh YAB perdana menteri Malaysia, Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak menerusi slot forum. Slot bersama JPA pula berbentuk lebih ringan dan dikendalikan dalam bentuk yang santai sahaja.

Selesai slot-slot tersebut, upacara penutup mengakhiri kursus Wacana Intelektual ini. Semua peserta pulang ke destinasi masing-masing dan bersiap sedia untuk kembali ke Mesir menerusi penerbangan khas yang akan diuruskan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan pihak JPA pada 9 Mac 2011.

Semoga segala input yang diperolehi oleh para peserta dapat dicerna dan dihadam dengan baik melalui pembacaan dan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan peserta yang lain.

Oleh:


Admin blog Gen 08

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More