Monday 28 November 2011

Pengorbanan


Pengorbanan
Disediakan oleh: Nadhirah binti Mohamad Yusof

“Biarpun bersama kekurangan,
Denganmu ku punyai segala,
takkan beruntung seisi dunia…
Berjuang berkorban demi cinta..”

Alunan merdu suara kumpulan Hijaz dalam nasyid yang mengingatkan kita tentang berkorban demi cinta pasti tak dilupakan oleh penggemar nasyid tanah air. Lagu yang pernah mendapat sambutan hangat suatu ketika dahulu.

Salam pengorbanan diucapkan. Salam Aid Al-adha.
Ilmu bahasa arab, bahasa syurga impian kita bersama jangan dilupakan. Salam (selamat sejahtera) , aid (perayaan)dan al-adha (pengorbanan).

Erti pengorbanan kamu?

“ Kak. Apa erti pengorbanan bagi akak?”

“Hmm. Pengorbanan tak sama seperti sumbangan. Sumbangan kita hanya bagi benda-benda yang berlebihan dalam hidup kita. Yang kita tak perlukan sangat. Kalau tiada pun hidup kita seperti biasa saja. Tapi kalau pengorbanan, kita akan memberikan semua yang kita ada. Yang kita perlu, yang kita sayang. Tak kiralah harta, masa, tenaga malah sanggup korbankan nyawa sendiri!”

Kenapa kita berkorban untuk sesuatu?

Demi cinta kita.

Selalunya orang akan sanggup berkorban, hanya apabila dia mencintai sesuatu. Ada orang mencintai seorang perempuan, maka dia sanggup berkorban segalanya demi meraih cinta si gadis impian. Sanggup menggadai seluruh masa dan tenaga. Wang ringgit apatah lagi. Malah, “I sanggup merentasi lautan api neraka demi U!”

Ada orang mencintai dunia. Sanggup bersusah- payah dengan segala kudrat yang ada untuk kehidupan dunia yang diimpikan. Sanggup menikam saudara seaqidah. Darah daging sendiri.  Demi kepuasan dunia impian sendiri.

Ada orang mencintai mumtaz, pointer 4.0 dan deretan A+ dalam sijil . Sanggup mengeluarkan juhud dan usaha tertinggi untuk mencapai matlamatnya. Semua cara akan diguna. Mungkin sampai terkurang hak-haknya pada orang lain, ahli rumah. Ahli bilik. Hak-hak pada tuhan dan rasul pun kadang-kadang langsung tak teringat.

Ada orang mencintai  nafsu sendiri. Nasihat iman dari hati tak dipeduli. Sanggup berjaga malam, bersengkang mata menghadap laptop dan kaca tv. Melayan movie-movie terkini. Menonton bola hingga terlepas qiam fardhi.

Ada orang mencintai tuhan dan rasulnya. Melebihi segala-galanya. Biarlah bengkak-bengkak kaki berdiri, lenguh-lenguh lutut ruku’ dan lebam-lebam dahi bersujud di hadapan tuhan. Semua langsung tak dipeduli. Bila ditanya mengapa, jawabnya “ Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Qudwah sepanjang zaman
Pengorbanan demi cinta siapa yang kita mahu contohi? Kalau orang bukan Islam, jawapan mereka tentulah kisah ‘agung’ Romeo dan Juliet. Tak pun Qais dan Laila. Cinta yang membuat kita lupa kita ada tuhan.
Jawapan orang-orang yang  jelas dan faham Islamnya, pasti tak lain tak bukan kisah sirah teragung. Qudwah dan contoh sepanjang zaman, hingga hari kiamat.
Bagaimana Nabi Ibrahim a.s boleh terus menyahut perintah Allah menyembelih Nabi Ismail a.s. Sedangkan baginda juga seorang bapa. Fitrah cinta bapa kepada anaknya yang jarang ditemui saban hari pasti ada. Tapi baginda membuktikan pada kita, siapa yang lebih patut dicintai? Anak, atau sang pencipta kita dan anak kita?
Lupakah kita, dengan kalimah yang diulang-ulang oleh Rasulullah sewaktu Izrail sudah di tepi untuk menjalankan amanah Allah. Menarik ruh kekasih Allah dengan cara yang paling lemah lembut. Sedang kesakitan maut tetap dirasai. Dan baginda merayu, timpakan segala kesakitan sakaratul maut ke atas diri baginda. Bukan pada ummat baginda. “ Ummati, ummati, ummati.!”
Kita sebagai ummat, adakah kita merindui baginda sebagaimana baginda merindui kita? Hanya ummat Muhammad yang sedar dirinya sebagai ummat Muhammad, mampu menjawab dengan tenang.
Terlalu banyak qudwah dan contoh, yang kita boleh jadikan panduan dalam usaha untuk berkorban demi cinta. Kisah Hanzalah dan malam pertamanya. Kisah Abu Bakar dan segala hartanya. Kisah Saad bin Muaz dan gegaran arasy saat kesyahidannya. Mengapa kita langsung tak ambil peduli?



Tanya diri                       
                                                                                                       
Maka sekarang, tanyalah diri sendiri. Apa erti cinta bagi kita? Sejauh mana kita berkorban untuknya. Berbaloikah pengorbanan yang kita curahkan selama hayat dikandung badan terhadap kecintaan kita. Andai dapat menjamin kesenangan dunia dan akhirat, Alhamdulillah. Jika tidak, maka nilailah kembali cinta dan pengorbanan kita.
Jangan menyesal di kemudian hari.
Wallahu a3lam. Ni3ma ajrul amilin! Sebaik-baik ganjaran untuk orang yang beramal.

“Semoga..sesal hidup ini,
Takkan berulang lagi.
Setiap detik masa dalam amalan jua.”
Dan lagu berkorban demi cinta yang berkumandang dihentikan.
Salam aidil adha. 



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More