Thursday 27 October 2011

~Kerana Manisnya Japik~

20 Oktober - Tarikh yang menjadi saksi kepulangan salah seorang sahabat kita dalam batch Gen 08, iaitu Mohamad Nurmazafiq bin Mazlan ke Malaysia bagi meneruskan perjuangan beliau dalam bidang perubatan. Ternyata walaupun menghadapi sedikit kesulitan dan kesukaran dalam pengajiannya di Mesir, semangat yang dimiliki oleh Mazafiq tidak pernah luntur, malah terus berkobar untuk melakukan yang terbaik pada masa hadapan.

Penerbangan Egypt Air yang berlepas pada jam 11.30 malam waktu Mesir menjadi pilihan untuk kepulangan Mazafiq ke Malaysia. Sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, para sahabat Gen 08 tidak putus-putus berkunjung ke rumah Mazafiq yang terletak di Abou Risy bagi mengucapkan salam perpisahan, bermaaf-maafan serta saling mendoakan kejayaan masing-masing. Walaupun masing-masing menunjukkan ekspresi wajah yang ceria namun jauh di sudut hati yang kecil semua sahabat Gen 08 terdetik rasa sedih apabila kehilangan seorang sahabat seperjuangan di bumi anbiya' ini.



Tremko yang ditempah khas bertolak dari kediaman Mazafiq pada jam 7.30 malam. Alhamdulillah, walaupun keadaan trafik yang sesak, tremko selamat sampai pada jam 8.30 malam. Sambil menunggu waktu untuk kaunter 'check in' dibuka, Mazafiq dan rombongan sahabat ikhwah Gen 08 seramai 12 orang meluangkan masa untuk menjamu selera di salah sebuah kedai makan di sana.

Selesai menjamu selera, Mazafiq mula bergerak ke kaunter 'check in' dan sedikit masalah timbul apabila pegawai di kaunter tersebut mengatakan bahawa barang yang ingin dibawa pulang oleh Mazafiq melebihi had muatan dan meminta bayaran yang terlalu mahal. Pegawai tersebut menjelaskan bahawa hal ini kerana wujudnya polisi baru dalam mengira jumlah had berat bagasi. Alhamdulillah, setelah berikhtiar, masalah tersebut berjaya diselesaikan. Sahabat Gen 08 mula pulang ke rumah masing-masing pada jam 10.30 malam.

Kami semua ahli batch Gen 08 mendoakan agar Mazafiq terus berusaha dan berjuang seperti mana sahabat-sahabat yang masih berada di Mesir ini, jangan mudah berputus asa dan walaupun tempat kita berjuang itu berbeza, matlamat kita masih sama dan yakinlah bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang ke atas makhluknya.





Amirul Zuhri
27.10.2011

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More