Sunday, 10 April 2011

~Majlis Kesyukuran dan Motivasi 2011~



Satu majlis kesyukuran dan motivasi telah dianjurkan oleh warga Gen 08 pada tarikh 8 April 2011 bersamaan 4 Jamadilawal 1431 H. Hari Jumaat yang dikenali sebagai saiyidul ayyam menjadi hari pilihan kerana hari tersebut merupakan cuti mingguan buat warga Gen 08 dan membantu melancarkan perjalanan majlis. Majlis yang dinamakan "Majlis Kesyukuran dan Motivasi 2011" ini diadakan dengan tujuan meraikan warga Gen 08 yang telah menamatkan zaman bujang mereka dalam usia masih muda. Kedua-dua pasangan mempelai yang diraikan adalah pasangan Mohamed Shafiq bin Mohamed Rusdi dan Najwa Syafiqah bt Rosli, Anas bin Kasran dan Noor Syakirah bt Rosli. Di samping itu, majlis ini juga diadakan bersama dengan program "Glow with the Flow" anjuran bersama persatuan PERUBATAN dan Gen 08. Dewan Wisma Nusantara, Indonesian Hostel, Cairo yang terletak di Hayyu Sabi' menjadi lokasi pilihan program ini dijalankan.

Sesi pagi:

Seawal jam 9 pagi, ikhwah dan akhawat Gen 08 mula berkumpul di stesyen bas Abou Rish sebelum bertolak ke lokasi majlis. Sebanyak lebih kurang tujuh hinggan lapan tremko telah ditempah bagi memudahkan pengangkutan warga Gen 08 ke sana. Walau bagaimanapun, salah satu tremko mengalami sedikit masalah tayar  dan menyebabkan tremko tersebut paling lewat sampai ke lokasi.

Program dimulakan dengan "Glow with the Flow" yang telah difokuskan secara khusus bagi subjek mikrobiologi rentetan daripada keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang kurang memuaskan berbanding keputusan subjek lain. Pasangan pengantin yang diraikan akhirnya hadir bersama-sama sahabat yang lain. Kehadiran pihak ikhwah pada awalnya kurang memuaskan berbading akhawat, namun tidak lama selepas itu, pihak ikhwah mula memenuhi ruang dewan tersebut.

Forum Glow with the Flow:

Saudara Imran bin Bukhari yang ditugaskan sebagai pengerusi majlis membuka majlis dengan surah al-fatihah dan memberikan kata-kata aluan seterusnya menjemput moderator dan ahli panel forum ke pentas. Forum ini dikendalikan oleh saudari Wan Afiqah bt Wan Md Sabri, timbalan ketua batch Gen 08, merangkap ex-officio jawatankuasa pelaksana majlis ini dan ahli-ahli panelnya adalah terdiri daripada senior perubatan tahun 4 Universiti Kaherah iaitu Amir Firdaus bin Ali Saifuddin, Nur Fatihin Samiyah binti Mohamad Hisham dan Nur Sakinah binti Zaib. Forum yang diberi tajuk "Mikrobiologi Pasca Revolusi" ini berjalan dalam dua pusingan dan mengambil masa kira-kira sejam. Pelbagai perkongsian menarik dan info-info baru diberikan oleh ketiga-tiga ahli panel bagi membantu warga Gen 08 dalam aspek mengulangkaji dan peperiksaan mikrobiologi. Semua yang hadir mendengar  dengan penuh perhatian akan setiap bait kata-kata ahli panel agar tidak terlepas sebarang maklumat penting. Forum diakhiri dengan tayangan video motivasi khas bertajuk "Kek dan Jusoh" yang dikongsikan khas oleh saudari Nur Sakinah binti Zaib. Majlis berhenti rehat bagi memberi ruang ikhwah menunaikan solat Jumaat dan akhawat menunaikan solat Zohor. Manakala pihak akhawat menggunakan ruang masa ini untuk program tertutup melibatkan akhawat sahaja. Tayangan video khas dipertonton kepada akhawat yang mengandungi ucapan dan nasihat buat pengantin perempuan agar berjaya mendidik diri menjadi isteri mithali lagi solehah.

Sesi petang:

Usai menunaikan kewajipan solat, ikhwah dan akhawat memenuhi kembali dewan bagi meneruskan acara yang telah dijadualkan. Pengerusi majlis menjemput ketua batch Gen 08, saudara Mohammad Nazrin bin Marzuki bagi memberikan ucapan. Beliau yang juga merangkap ex-officio jawatankuasa pelaksana majlis menghadirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada jawatankuasa pelaksana diketuai oleh saudara Muhammad bin Rahimi dan dibantu oleh saudari Tasnim binti Hanafi bersama ajk-ajk lain yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini walaupun menghadapi pelbagai kekangan dari segi masa, lokasi dan logistik. Ucapan tahniah juga tidak dilupakan buat pasangan pengantin yang diraikan serta buat semua warga Gen 08 yang telah sudi datang memeriakan lagi majlis ini. Peringatan juga disampaikan buat sahabat Gen 08 yang belum menempuh alam rumah tangga agar berpuasa selari dengan saranan junjungan besar Rasulullah (s.a.w) dalam hadis baginda yang bermaksud: “Wahai sekelian pemuda, sesiapa diantara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin, kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih baik untuk kemaluan, sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa untuknya sebagai perisai.”. Selesai ucapan daripada saudara Nazrin, majlis menjemput saudara Luqman Afiq bin Mohamad Ishak bagi mengetuai bacaan doa makan dan semua hadirin mula menjamah hidangan yang disediakan.

Jamuan dan persembahan:

Tayangan gambar, lagu-lagu buat pengantin khas daripada Backturn Production serta ucapan-ucapan dedikasi buat pengantin menemani para hadirin semasa sesi menjamu selera. Hidangan nasi minyak yang cukup sinonim dalam upacara perkahwinan adat melayu ditambah dengan pelbagai juadah tambahan menjadi  menu pilihan majlis. Majlis dikejutkan dengan ketibaan para AJKT PERUBATAN Gen 08 yang pada asalnya tidak dapat hadir atas urusan mesyuarat persatuan, namun atas perbincangan, budi bicara dan kesungguhan mereka untuk turut sama memeriahkan majlis ini, mereka diberi kebenaran oleh presiden PERUBATAN, Saudara Syafiq bin Hamdani, Majlis Penasihat dan ajkt lain bagi menghadirkan diri ke majlis.

Majlis dihiburkan lagi dengan persembahan pentas oleh saudara Muhammad Asyraf bin Abdul Rahim dan Mohamad Amirul Afiq bin Mohd Sor. Mereka berdua mendendangkan beberapa buah lagu buat hadirin dan pengantin khususnya antaranya Sungai Lui [Aizat], BarakAllah [Maher Zain], Permata Untuk Isteri [Kopratasa] dan Satu Cinta [Star Five]. Salah seorang pengantin lelaki iaitu saudara Shafiq mengambil peluang untuk menyanyikan lagu Permata Untuk Isteri [Kopratasa] buat isterinya.

Permainan dan kuiz:

Majlis bertambah ceria dengan kehadiran rakan-rakan G2G dan sahabat dari Universiti Ain Shams. Setelah selesai persembahan pentas, tibalah pula acara permainan buat para pengantin. Nama permainan yang dijalankan adalah "Game Pink and Blue". Slot permainan ini dikendalikan oleh saudara Amir Syahid bin Ezani, saudara Muhammad Asyraf bin Abdul Rahim dan saudari Nurbahiran binti Mat Zain. Tujuan utama permainan ini diadakan adalah bagi membuat perbandingan faktor yang manakah lebih dominan antara dua komponen utama pembentukan pasangan bahagia iaitu kebersamaan pendapat dan saling melengkapi. Pasangan pengantin disoal dengan pelbagai bentuk soalan dan gelagat mereka ketika kuiz tersebut berlangsung mencuit hati sahabat-sahabat yang hadir.

Majlis diteruskan dengan persembahan sajak oleh kombinasi akhawat Gen 08  iaitu saudari Zahidah binti Hamzah, Siti Khadijah binti Daud dan Siti Badriyah binti Yaakop yang diadaptasi daripada lirik lagu Kasihmu Amanahku nyanyian kumpulan In-Team, dan disusuli oleh persembahan pantun oleh saudari Nurbahiran binti Mat Zain dan Nadirah binti Muhammad Shahrom. Selesai persembahan oleh wakil akhawat, permainan kuiz yang kedua  mengambil tempat. "Game MCQ: Life Choice" dikendalikan dengan gaya bersahaja oleh saudara Amir Syahid, para hadirin terhibur melihat gelagat pengantin menjawab soalan-soalan hasil idea saudara Muhammad bin Rahimi. Hasil daripada kedua-dua permainan tersebut, ternyata elemen kebersamaan pendapat lebih dominan dalam pembentukan pasangan bahagia berbanding elemen saling melengkapi.

Upacara memotong kek:

Kemudian, semua hadirin ikhwah diberi peluang untuk sama-sama menyayikan lagu bertajuk "Gila-gila Pengantin" secara beramai-ramai ditujukan khas buat kedua-dua pasangan mempelai. Upacara memotong kek sumbangan khas saudari Syaimaa' binti Ahmad oleh pengantin dilakukan dan hadirin mengambil peluang merakamkan saat-saat romantis tersebut, ditambah dengan babak suap-menyuap kek oleh pasangan mempelai. Upacara memotong kek juga diadakan kepada warga Gen 08 yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan Mac dan April sebagai tanda ingatan dan penghargaan buat mereka.

Sesi fotografi:

Sesi fotografi sesama warga Gen 08 menjadi acara terakhir sebelum majlis ini melabuhkan tirainya dimulakan dengan pihak ikhwah dan diikuti oleh akhawat. Berakhirnya sesi fotografi, berakhirlah majlis kesyukuran ini. Warga Gen 08 mula mengemas kembali dewan yang digunakan dan bertolak pulang ke rumah masing-masing menggunakan tremko yang telah ditempah.

Sekalung tahniah diucapkan buat semua warga Gen 08 yang sudi memeriahkan dan menghidupkan Majlis Kesyukuran dan Motivasi 2011 ini, khususnya buat para jawatankuasa pelaksana yang bekerja keras siang dan malam menempuh pelbagai halangan dan rintangan dalam menjayakan majlis yang sangat bermakna ini. Semoga usaha kalian semua mendapat ganjaran dari Allah swt dan buat para pengantin semoga berbahagia bukan sahaja di dunia, malah berterusan sehingga ke syurga sana kelak, insyaAllah.

Semoga usaha kita ini mampu menyuburkan benih-benih ukhuwah serta mengeratkan lagi silaturahim sesama warge Gen 08 berkekalan hinggan ke akhirat sana.

(beberapa gambar akan dimuat naik dalam 'posting' yang lain)

~HOLDING HANDS TOWARDS ONE DESTINY~


Oleh:

Admin-admin blog Gen 08









2 comments:

huh?sejak bila nama saya nur fatihin bt samiah..
TYPO BESAR di situ..
mane admin2 neyh?ish2..

haha..
NUR FATIHIN SAMIYAH BINTI MOHAMAD HISHAM ye adik2..
kekekeke :D

Maaf ats kesilapan ejaan td...

insyaAllah kslhn tu dh dibaiki....

=)

trima kasih atas perkongsian mnarik aritu !!!

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More